Thursday 16 February 2012

Belajar Hidup Dari Sebuah Kematian


Tiap-tiap yang bernyawa akan merasai mati, dan bahawasanya pada hari kiamat sahajalah akan disempurnakan balasan kamu. Ketika itu sesiapa yang dijauhkan dari neraka dan dimasukkan ke syurga maka sesungguhnya ia telah berjaya. Dan (ingatlah bahawa) kehidupan di dunia ini (meliputi segala kemewahannya dan pangkat kebesarannya) tidak lain hanyalah kesenangan bagi orang-orang yang terpedaya.  
(Al- Imran : 185)
Assalamualaikum...

Allah telah berfirman dalam surah Al-Imran, seperti ayat diatas. Maka kematian itu sememangnya suatu yang pasti bagi kita. Apabila tiba masanya nanti, tidak akan dilewatkan atau dilewatkan walau sesaat. Maha Suci Allah yang telah menetapkan cara kematian kita sesuai dengan cara hidup kita di muka bumi yang sementara ini.

Jadi, kembali kepada tajuk kali ini, pasti ramai tertanya bagaimana nak belajar hidup dari sebuah kematian?

Saya suka melemparkan sebuah persoalan bagi menjawab sebuah persoalan. Apa perasaan anda bila melihat atau mendengar berita kematian seseorang? Pernahkah kalian berkata pada diri, "Ya ALLAH bila giliran aku?". Allah Yang Maha Bijaksana menyembunyikan tarikh Malaikat Maut bakal datang menjemput kita kerana Dia ingin sekali kita sentiasa membuat persiapan yang cukup untuk bertemu dengan-Nya. Dia tidak mahu kita membuat persiapan 'last minute' seperti mana yang sering kita lakukan setiap kali peperiksaan menghampiri.

Dari sebuah kematian, kita dapat lihat bagaimana seseorang itu mati, dan kaitkan dengan cara hidupnya... Kemudian ambil itu sebagai iktibar dalam kehidupan.
Dari sebuah kematian, kita boleh lihat pelbagai ragam manusia yang menguruskan susuk tubuh kaku itu, ada yang tergopoh-gopoh, ada yang tiada belas kasihan dan pelbagai lagi sikap manusia untuk diambil iktibar
Dari sebuah kematian, kita menginsafi segala dosa-dosa silam... belajar memperbaiki kesilapan diri dan mendekatkan diri dengan Allah...
Dari sebuah kematian, kita sedar dunia itu hanya ladang untuk akhirat,di dunia kita berusaha bercucuk tanam buat menuai hasil tanaman di akhirat kelak. kita sedar hidup ini adalah sebuah perjalanan yang panjang tuk sampai ke destinasi (syurga atau neraka),dunia bagai sebuah pohon tuk kita berehat sebentar sebelum meneruskan perjalanan.

Hebatnya belajar dari sebuah kematian. renungkan kata-kata ini :
 "celakalah mereka yang melihat kematian namun tidak mengambil iktibar darinya."

Nabi Muhammad S.A.W. seorang yang sentiasa mengingati mati. Dan ketahuilah dari sentiasa mengingati mati itu akan bertambah iman kita kepada Allah. Semoga kita semua mendapat Husnulkhotimah(Pengakhiran Yang Baik) di akhir kehidupan nanti. InsyaALLAH. Wallahu'alam~

No comments:

Post a Comment