Thursday 16 February 2012

Belajar Hidup Dari Sebuah Kematian


Tiap-tiap yang bernyawa akan merasai mati, dan bahawasanya pada hari kiamat sahajalah akan disempurnakan balasan kamu. Ketika itu sesiapa yang dijauhkan dari neraka dan dimasukkan ke syurga maka sesungguhnya ia telah berjaya. Dan (ingatlah bahawa) kehidupan di dunia ini (meliputi segala kemewahannya dan pangkat kebesarannya) tidak lain hanyalah kesenangan bagi orang-orang yang terpedaya.  
(Al- Imran : 185)
Assalamualaikum...

Allah telah berfirman dalam surah Al-Imran, seperti ayat diatas. Maka kematian itu sememangnya suatu yang pasti bagi kita. Apabila tiba masanya nanti, tidak akan dilewatkan atau dilewatkan walau sesaat. Maha Suci Allah yang telah menetapkan cara kematian kita sesuai dengan cara hidup kita di muka bumi yang sementara ini.

Jadi, kembali kepada tajuk kali ini, pasti ramai tertanya bagaimana nak belajar hidup dari sebuah kematian?

Saya suka melemparkan sebuah persoalan bagi menjawab sebuah persoalan. Apa perasaan anda bila melihat atau mendengar berita kematian seseorang? Pernahkah kalian berkata pada diri, "Ya ALLAH bila giliran aku?". Allah Yang Maha Bijaksana menyembunyikan tarikh Malaikat Maut bakal datang menjemput kita kerana Dia ingin sekali kita sentiasa membuat persiapan yang cukup untuk bertemu dengan-Nya. Dia tidak mahu kita membuat persiapan 'last minute' seperti mana yang sering kita lakukan setiap kali peperiksaan menghampiri.

Dari sebuah kematian, kita dapat lihat bagaimana seseorang itu mati, dan kaitkan dengan cara hidupnya... Kemudian ambil itu sebagai iktibar dalam kehidupan.
Dari sebuah kematian, kita boleh lihat pelbagai ragam manusia yang menguruskan susuk tubuh kaku itu, ada yang tergopoh-gopoh, ada yang tiada belas kasihan dan pelbagai lagi sikap manusia untuk diambil iktibar
Dari sebuah kematian, kita menginsafi segala dosa-dosa silam... belajar memperbaiki kesilapan diri dan mendekatkan diri dengan Allah...
Dari sebuah kematian, kita sedar dunia itu hanya ladang untuk akhirat,di dunia kita berusaha bercucuk tanam buat menuai hasil tanaman di akhirat kelak. kita sedar hidup ini adalah sebuah perjalanan yang panjang tuk sampai ke destinasi (syurga atau neraka),dunia bagai sebuah pohon tuk kita berehat sebentar sebelum meneruskan perjalanan.

Hebatnya belajar dari sebuah kematian. renungkan kata-kata ini :
 "celakalah mereka yang melihat kematian namun tidak mengambil iktibar darinya."

Nabi Muhammad S.A.W. seorang yang sentiasa mengingati mati. Dan ketahuilah dari sentiasa mengingati mati itu akan bertambah iman kita kepada Allah. Semoga kita semua mendapat Husnulkhotimah(Pengakhiran Yang Baik) di akhir kehidupan nanti. InsyaALLAH. Wallahu'alam~

Tuesday 14 February 2012

Valentine's Day : Antara Cinta Dan Dosa


Adakah mereka tahu dari mana asal usul sambutan perayaan ‘Valentines Day’ ini? Terdapat banyak pendapat tentang asal-usul Valentines Day. Salah satunya adalah seperti berikut.
Pada masa pemerintahan Claudius II, kerajaan Rom yang menyembah dewa-dewi amat memusuhi penganut agama Kristian dan para mubaligh Kristian telah dipenjara serta diseksa. ...St. Valentine sebagai seorang yang tegar menganut agama Kristian dan aktif menyebarkan ajaran tersebut turut dipenjarakan oleh Cladius II. Dikhabarkan St. Valentine walaupun dipenjarakan, beliau tetap mengajar dan menyebarkan agama tersebut di kalangan banduan-banduan penjara. Kegiatan ini telah diketahui oleh Cladius II dan beliau memerintahkan St. Valentine diseksa dan akhirnya dihukum bunuh pada 14 Februari. Pengorbanan yang dilakukan oleh St Valentine ini dianggap oleh penganut Kristian sebagai satu pengorbanan yang besar demi kecintaan beliau terhadap agamanya. 

Daripada cerita ini dapatlah disimpulkan bahawa sambutan perayaan Valentines Day tiada kaitannya langsung dengan Islam. Tambahan pula remaja kita hari ini menzahirkan rasa kasih dan cinta pada hari Valentine itu terhadap kekasih hati mereka yang masih belum tentu akan menjadi pasangan hidup mereka sebagai suami atau isteri. Bukankah perbuatan bercinta sebelum bernikah itu sudah terang dan jelas haram? Bagi mereka yang mempunyai akal yang sihat pasti dapat memahami mengapakah Allah melarang perbuatan tersebut. 

Sewaktu Ijab Kabul diucapkan, Allah telah menanamkan rasa kasih saying pada pasangan tersebut. Sedangkan ketika saat orang berpacaran yang memberikan rasa kasih sayang itu adalah syaitan. Tapi bukan menanamkan kasih sayang ,hanya membunga-bungai menjadikan yang buruk menjadi indah. Pernikahan menjadikan yang haram menjadi halal. Dengarlah peringatan yang telah Allah sampaikan pada kita. Jangan sampai kita tergelincir pada lumpur dosa dan penyesalan yang tiada berakhir.
Allah berfirman ertinya : Dan jangan kamu mendekati zina, sesungguhnya zina itu adalah suatu perbuatan yang keji dan suatu jalan yang buruk.(QS. Al- Israa: 32)